Friday, June 29, 2012

Ujian Bahasa Inggeris Bulanan

Mulai bulan Julai 2012, pelajar-pelajar yang mengambil subjek Bahasa Inggeris di Home Tuition BTP akan disusun mengikut tahap Beginners, Elementary, Intermediate dan Advance. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan asas bahasa Inggeris setiap pelajar. Ujian saringan akan dilakukan pada setiap bulan. Pelajar yang menunjukkan peningkatan prestasi akan dapat masuk ke tahap yang lebih tinggi. Moga dipermudahkan Allah. :)

Saturday, June 16, 2012

Friday, June 15, 2012

Tanda-tanda anak-anak mengalami trauma dan gangguan emosi :


Tanda-tanda anak-anak mengalami trauma dan gangguan emosi :
- Proses perkembangan fizikal terjejas misalnya ketinggian dan berat badan terencat dan tidak seiring dengan usia mereka.
- Kelihatan murung, hilang selera makan, mudah marah, menyendiri dan melakukan sesuatu di luar kebiasaan dan sebagainya.
- Tidur yang sering terganggu hingga sukar melelapkan mata. Malah ada yang terpaksa mengambil ubat tidur. - Pencapaian akademik di sekolah yang makin merosot. 
- Masalah disiplin di sekolah kerana anak-anak ini menunjuk protes di sekolah atau dalam pergaulan.
- Mereka sukar dikawal dan dinasihati kerana mereka meletakkan kesalahan itu kepada ibu bapa dan merasakan tindakan mereka itu adalah wajar.
- Lebih berdiam diri kerana mereka sendiri dalam dilema siapa yang harus disalahkan, siapa yang patut disayangi, ibu atau bapa?
- Keliru dan merasakan ibu bapa lebih pentingkan hal masing-masing dan tidak peduli dan sayang kepada mereka lagi.

Thursday, June 14, 2012

Terapi Anak 11 : Mengawal Anak Ketagihan 'Computer Game'.


Terapi Anak 11 : Mengawal Anak Ketagihan 'Computer Game'.

Apabila seorang ibu mengadukan permasalahan anak remajanya yang asyik dengan permainan 'computer game' sehingga mengabaikan pelajaran, hilang selera makan, tidak bergaul dengan orang lain dan mengamuk apabila dihalang bermain 'computer game', maka saya tahu bahawa anak beliau sudah terkena penyakit ketagihan 'computer game'. Setelah anak ini berada di fasa kronik barulah ibu bapa menyedari betapa berhantunya 'computer game' tersebut. Anak-anak yang ketagihan permainan 'computer game' ini akan sanggup menghabiskan siang dan malam bersendirian di dalam bilik. Mereka tidak kisah sekiranya hari cuti sekolah terperap di dalam rumah sahaja selagi ada komputer bersama. Mereka tidak berminat untuk pergi bersosial dan bermain di luar rumah kerana merasakan dunianya sudah lengkap bersama komputer mereka. Apabila saudara mara datang ke rumah, mereka lebih suka berada di dalam bilik berbanding beramah mesra dengan keluarga. Paling menyedihkan adalah apabila kita tidak boleh berbual dengan mereka kerana seolah-olah mereka sedang khayal di dalam dunia asing yang sangat sibuk dengan impian dan harapan. Malangnya impian dan harapan itu adalah palsu dan sia-sia belaka! Sebelum kita mengetahui apakah cara-cara membantu memulihkan anak-anak ini, kita perlu mengenal pasti punca-punca penyakit ini.

Punca yang pertama adalah cara pendidikan ibu bapa yang mendedahkan anak-anak kepada permainan ini. Tujuan ibu bapa mengizinkan anak-anak bermain komputer kerana mahu mengelakkan anak-anak terjebak dengan masalah sosial seperti salah pilih kawan dan khuatir keselamatan terancam apabila bermain di luar. Punca yang kedua adalah kerana pengaruh persekitaran yang menganggap suatu kebiasaan untuk mengizinkan anak-anak bermain komputer. Perisian permainan percuma seperti 'Angry Bird' dan permainan di facebook menyebabkan ibu bapa tidak berfikir panjang sebelum memperkenalkan permainan tersebut kepada anak-anak. Terdapat juga ibu bapa yang memang menggalakkan anak-anaknya bermainan permainan tersebut supaya tidak ketinggalan seperti anak orang lain.

Punca yang ketiga adalah kerana kesibukan ibu bapa bekerja menyebabkan tiada masa untuk anak-anak. Prinsip ibu bapa yang menganggap asalkan anak tidak bising dan tidak luka sudah bagus inilah yang mendorong anak-anak melekat di komputer. Ibu bapa kebanyakkan tidak sedar dan tidak mengetahui betapa permainan komputer ini sangat mempengaruhi pembentukan peribadi anak-anak. Apabila anak-anak ini semakin membesar dan menunjukkan tanda-tanda negatif pada pelajaran di sekolah, barulah ibu bapa kelam kabut mahu mengambil tindakan.

Punca keempat adalah kerana anak-anak yang mengalami masalah cuba untuk melarikan diri daripada kenyataan hidup. Mereka mungkin dibuli atau sering disakiti dalam alam nyata. Satu-satunya cara untuk melupakan masalah tersebut adalah dengan terjun ke alam fantasi permainan komputer.

Jadi bagaimanakah harus kita lakukan untuk membantu memulihkan anak-anak ini?

Langkah pertama yang boleh diambil adalah dengan mengurangkan masa bermain komputer. Adalah amat menyeksakan sekiranya ibu bapa menghentikan terus permainan tersebut. Ibarat orang yang ketagihan dadah, mereka boleh mati sekiranya bekalan dadah diberhentikan mendadak. Bagaimanakah ingin mengurangkan masa bermain komputer ini? Ibu bapa boleh mengajak anak-anak bermain di luar rumah, pergi ke taman permainan, makan bersama, menonton televisyen bersama atau apa-apa sahaja aktiviti bersama. Ini memerlukan pengorbanan yang sangat besar memandangkan majoriti ibu bapa hari ini sibuk bekerja. Kita perlu ingat bahawa anak-anak merasakan masa berkualiti dalam hidup mereka adalah ketika bermain komputer. Jadi kita perlu menggantikan masa tersebut dengan sesuatu yang menarik sehingga jika boleh anak-anak akan menggapnya sebagai masa yang berkualiti.

Langkah kedua yang boleh diambil adalah dengan membuat jadual harian yang dikuatkuasakan. Tiada gunanya jika jadual yang dibuat itu sekadar perhiasan di dinding. Ini memerlukan ketegasan ibu bapa yang bersungguh-sungguh.

Langkah ketiga adalah banyakkan berbual mesra dengan anak-anak. Jadikan supaya diri kita sebagai ibu bapa adalah tempat yang paling selamat bagi anak-anak. Apabila anak-anak ada masalah, kita perlu ada di sisi mereka untuk membantu. Komputer tidak sepatutnya mengambil alih peranan ibu bapa. Jangan sehingga kita kehilangan anak kita kerana kecuaian kita sendiri. 

China dan Korea sedang mengalami masalah kanak-kanak ketagihan permainan komputer yang serius sehingga psikatri-psikatri dilatih untuk membantu anak-anak ini. Negara kita juga tidak terkecuali memandangkan kini hampir setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya sebiji komputer.

Cegahlah sebelum parah, jangan menyesal kemudian hari. -Khalilah HTBTP-

Wednesday, June 13, 2012

Terapi Anak 10 : Mengawal Anak Mengamuk!



Terapi Anak 10 : Mengawal Anak Mengamuk!

Seorang ibu hendak keluar bekerja tetapi dihalang oleh anak kecilnya yang berusia lingkungan tiga tahun. Anak kecil itu menangis sekuat hati dan memukul-mukul kereta ibunya. Ibunya terpaksa pergi kerja meskipun hati ibu mana yang tidak terusik melihat anak kecilnya meraung-raung. Penjaga anak kecil itu lekas-lekas menutup pagar sebaik kereta si ibu keluar. Si anak kecil semakin kuat raungannya sehinggakan jiran-jiran turut terganggu. Si ibu berasa gundah gulana setiap hari atau lebih tepat setiap kali hendak pergi bekerja. Ibunya menjadi tertekan kerana tidak dapat mengawal tagisan anaknya yang begitu kuat dan mengamuk tidak mengira tempat dan keadaan. Apabila hendak keluar ke kedai juga ibunya menjadi serba salah dan tidak senang hati kerana khuatir anaknya akan membuat perangai. Rasa malu itu sudah pasti kerana semua orang akan memandang sinis melihatkan anaknya yang sudah menangis sambil berguling di atas lantai.

Pernahkah anda melihat situasi seperti di atas?

Ianya dikenali sebagai 'tantrum' yang bermaksud mengamuk.

Apakah punca tantrum? Ianya disebabkan anak-anak kecil ini cuba untuk mengawal suasana dan mencapai kehendak dirinya. Tagisan dan perbuatan mengamuk ini bertujuan supaya ibu bapa dan penjaga lekas putus asa dan menurut sahaja kehendak mereka. Ada anak yang menangis apabila tidak mendapat alat permainan yang dilihat di pasaraya. Apabila mereka menangis, ibu bapa pun membelikan alat permainan itu kerana malu terhadap orang ramai yang ada di dalam kedai.

Punca kedua adalah kerana anak-anak dibiasakan menangis yang tidak berhenti. Contohnya seorang anak merengek kerana diusik oleh kakaknya. Si ibu mengabaikan sahaja rengekan anak kecil itu menyebabkan anak itu menangis tidak berhenti hampir setengah jam. Ini membuatkan anak tadi merasakan dirinya terbiar dan mahukan perhatian. Akhirnya setelah ibunya mulai lemas dengan tagisan yang tidak berhenti, si ibu akan terus datang dan memarahi kakaknya. Maka anak kecil tadi telah berjaya mendapatkan keinginannya supaya kakaknya dimarahi oleh ibunya.

Punca ketiga adalah kerana anak-anak tidak dipelihara oleh ibu bapa kandung. Ibu bapa mungkin sibuk bekerja dan menyerahkan anak-anak kepada penjaga nurseri atau orang gaji. Ini membuatkan ibu bapa tidak memahami atau mengenali diri anak-anak. Apabila anak-anak menangis dan ibu bapa tidak mengetahui apa sebenarnya yang dikehendaki anak-anak, maka anak-anak akan dibiarkan menangis. Apabila ibu bapa berusaha memujuk, mereka gagal dan akhirnya kebingungan.

Anak menangis adalah suatu cara mereka berkomunikasi. Mereka tidak mampu bercakap dan menerangkan isi hati mereka. Jadi mereka menangis sebagai tanda mahukan sesuatu atau tidak mahukan sesuatu.

Langkah untuk mengawal anak-anak yang suka mengamuk ini adalah dengan mengalihkan perhatian anak tadi yang sedang menangis. Contohnya ketika anak tadi sedang menangis, cuba berbual dengan orang lain mengenai sesuatu yang boleh menarik perhatiannya. Kita ambil kisah benar pengalaman ibu yang mengalami anak yang menangis ketika beliau hendak pergi bekerja. Penjaga anak itu sengaja berbual kuat dengan kakak kepada anak yang sedang mengamuk.

"Tengok rama-rama tu, cantik..."

"Kejarlah rama-rama tu.."

Tagisan anak yang sedang mengamuk itu semakin perlahan tetapi masih tersedu-sedu. Matanya sibuk mengekori rama-rama yang sedang terbang.

"Kejarlah rama-rama tu.." penjaga itu cuba berbual dengan anak yang mengamuk tadi.

"Rama-rama bodoh!" Marah si anak. Penjaga itu mengabaikan sahaja si kecil yang masih tidak berpuas hati. Penjaga itu dan kakaknya mengejar rama-rama tersebut. Tidak lama kemudian tagisan anak yang mengamuk itu berhenti dan yang tinggal cuma tersedu-sedu.

Dalam kisah di atas, penjaga tadi cuba mengalih perhatian anak yang sedang mengamuk. Ini adalah lebih baik berbanding menuruti sahaja kehendak anak tadi.

Langkah kedua adalah membentuk disiplin anak-anak. Sebelum membawa anak-anak keluar daripada kenderaan untuk ke rumah saudara mara, berikan amaran awal kepada anak-anak supaya tidak menangis, menjerit dan patuh pada arahan sewaktu di sana. Sekiranya anak-anak melanggar peraturan, mereka akan dihukum. Amaran ini dikeluarkan sebelum anak-anak membuat perangai dan emosinya masih belum terganggu. Sekiranya ibu bapa ingin menjanjikan sesuatu kepada anak-anak sebagai ganjaran, pastikan ianya ditunaikan. Nabi Muhammad saw melarang ibu bapa membohongi dan tidak menepati janji kepada anak-anak. Sekiranya ibu bapa sendiri mengkhianati janji mereka kepada anak-anak, ianya akan menghilangkan kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa.

Langkah ketiga adalah jangan dibiasakan anak-anak merengek berpanjangan. Apabila mereka menangis, segeralah memeriksa apakah punca mereka menangis. Mereka menangis melambangkan hati mereka yang sakit atau tubuh mereka yang sakit. Jadi jangan tunggu hingga mereka sudah meraung di luar kawalan barulah kita pergi memeriksa keadaan.

Langkah keempat adalah memastikan orang yang menjaga anak-anak kita dengan ciri-ciri di atas iaitu tahu serba sedikit tentang psikologi. Kita mungkin mengamalkan psikologi dalam mendekati anak-anak, tetapi bagaimana pula penjaga mereka? Sedangkan hampir 5 hari seminggu mereka dijaga oleh orang gaji atau nurseri. Acuan yang bagaimanakah akan membentuk peribadi anak-anak kita?

Paling penting ibu bapa haruslah beringat untuk banyakkan bersabar dan beristigfarlah berulang kali apabila anak mula meraung. Jangan cepat hilang sabar lalu mengangkat tangan memukul anak yang belum mengerti. Khuatir kita tersalah hukum, anak itu akan cacat seumur hidup. Ingatlah, setiap anak itu akan membesar. Sampai suatu masa nanti, mereka tidak akan lagi menangis. Inshaallah.



-Khalilah HTBTP-

Tuesday, June 12, 2012

Terapi Anak 9 : Teknik Melatih Anak Menjawab Soalan Peperiksaan.



Terapi Anak 9 : Teknik Melatih Anak Menjawab Soalan Peperiksaan.

Semua ibu bapa mahukan anak-anak yang sempurna, cemerlang akademik dan sahsiah. Namun bukan semua anak mampu cemerlang terutamanya akademik. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan pembelajaran yang terbaik kepada anak supaya akademiknya cemerlang. Ini memungkin masa depan yang lebih cerah kepada anak-anak. Namun, setelah ibu bapa berhabisan masa, tenaga dan wang adakah itu bermakna anak anda akan berubah menjadi pelajar paling cemerlang?

Berdasarkan pengalaman saya, anak-anak yang kurang cemerlang akademik ini mempunyai rasa rendah diri dan sentiasa dalam keadaan takut apabila belajar. Apabila mereka dibimbing untuk belajar, mereka tidak boleh terus sahaja dipaksa belajar. Proses ini begitu sukar untuk mereka. Kita tidak boleh memaksa budak yang mendapat gred D untuk duduk di meja dan siapkan 40 soalan secara mendadak. Berdasarkan pengalaman saya, anak-anak yang sebegini tidak akan mampu membuat soalan-soalan tersebut kerana mereka tidak tahu atau terlupa langkah pertama untuk menjawab soalan. Jadi mereka akhirnya menghabiskan masa dengan berulang kali membaca soalan tanpa mengerjakannya. Di dalam fikiran mereka seolah buntu tidak tahu bagaimana hendak bermula kerana langkah pertama pun sudah terlupa. Mengapakah langkah pertama juga sudah lupa? Kerana mereka berada dalam keadaan ketakutan. Pengalaman silam berada dalam dewan peperiksaan bersama kertas yang akan dihantar selepas masa peperiksaan tamat, telah mencipta perasaan fobia di dalam jiwa mereka.

Menyedari hakikat ini, tindakan yang perlu diambil oleh ibu bapa dan guru-guru tuisyen yang ingin membantu anak-anak adalah dengan menghilangkan perasaan fobia tersebut. Caranya adalah dengan melakukan simulasi peperiksaan di rumah dengan jam di hadapan mereka. Jangan tinggalkan anak-anak bersama jam sahaja! Tunggu di sebelah mereka. Pengalaman lepas mengajar saya bahawa apabila saya duduk di sebelah mereka dalam keadaan diam dan berbalas senyuman sahaja dengan pelajar akan memudahkan dan melancarkan menjawab soalan. Perbuatan ini perlu diulang beberapa kali sehingga markah anak-anak stabil. Setelah itu barulah anak-anak ditinggalkan menjawab soalan sendirian bersama jam yang sudah di set masa. Tujuan duduk di sebelah mereka pada permulaan tadi adalah untuk menghilangkan rasa gemuruh dalam diri anak-anak dan seterusnya mencipta rasa selamat dalam diri mereka.

Semoga usaha dan kesabaran kita ini dapat membantu anak-anak ini mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan mereka.

-Khalilah HTBTP-

Terapi Anak 8 : Dapatkan Personal Coach





Terapi Anak 8 : Dapatkan Personal Coach. 

Kelas ini melibatkan seorang pelajar dan seorang guru sahaja.Tujuan kelas ini diadakan untuk membolehkan guru memberi fokus yang maksimum kepada pelajar. Pelajar akan dibimbing dengan pelbagai kaedah yang dirasakan sesuai mengikut kemampuan pelajar. Awas, ibu bapa perlu berhati-hati dalam pemilihan guru kerana terdapat kes-kes penderaan seksual yang melibatkan guru dan pelajar. Ibu bapa perlu memeriksa latar belakang guru sebelum memberikan kepercayaan kepada guru.

-Khalilah HTBTP-

Terapi Anak 7 : Keluarkan Mereka dari Zon Selesa.



Terapi Anak 7 : Keluarkan Mereka dari Zon Selesa.

Berdasarkan pengalaman saya, kemajuan akademik anak-anak lebih cepat dilihat apabila mereka datang sendiri ke tempat belajar yang bukan rumah mereka. Ini disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor pertama ialah ancaman zon selesa apabila berada di rumah. Anak-anak yang dibawa keluar dari zon selesa semasa keluar dari rumah secara automatik telah menyediakan mental dan fizikalnya untuk menuntut ilmu. Ini sangat membantu dari segi penerimaan ilmu kerana anak-anak ini hadir dalam keadaan mindanya sudah bersedia untuk menerima ilmu yang disampaikan. Suasana belajar memainkan peranan yang amat penting dalam mempengaruhi emosi sewaktu belajar.
-Khalilah HTBTP-

Terapi Anak 6 : Memahami Anak Yang Sukar Memahami Teguran.



Terapi Anak 6 : Memahami Anak Yang Sukar Memahami Teguran.

Kebanyakkan ibu bapa sangat runsing kerana anak-anak tidak memahami teguran yang diberikan. Apabila dilarang anak-anak daripada melakukan sesuatu, ternyata ianya seolah masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Apa yang dicakapkan oleh ibu bapanya lansung tidak dipedulikan. Akibatnya hati ibu bapa menjadi sakit setiap kali mengetahui bahawa segala larangan dan pesanan disia-siakan. Persoalannya mengapakah sukar sangat remaja khususnya untuk memahami teguran ibu bapa? Contohnya ibu bapa melarang anak-anak daripada ponteng kelas tuisyen kerana mahu anak-anaknya menggunakan masa belajar dengan sebaik-baiknya. Tetapi nasihat ibu bapa tersebut seolah diabaikan manakala anak-anak masih tetap berdegil dengan perbuatan lama. Contoh lain adalah apabila ibu bapa melarang anak-anak daripada pergi ke 'cyber cafe' atau berkawan dengan kawan yang tertentu. Tetapi larangan itu hanya berkesan sehari dua sahaja seolah-olah anak-anak tersebut tidak mampu memahami bahawa nasihat yang diberikan adalah untuk kebaikan mereka. Mereka seolah merasakan larangan-larangan ibu bapa seolah sekatan yang menyeksa dan mendera mereka. Apabila berpeluang, mereka akan kembali melakukannya semula.

Antara sebab mereka bertindak sedemikian adalah kerana mereka mungkin memang tidak faham. Walaupun ibu bapa mereka sudah menerangkan panjang lebar namun ianya tidak mampu difahami oleh mereka.

Mengapakah ini berlaku? Tidakkah mereka boleh berfikir seperti orang dewasa berfikir?
Jawapannya tentulah tidak!

Anak-anak dan ibu bapa adalah dua tahap yang sangat berbeza. Cara ibu bapa dan anak-anak berfikir sangat berbeza kerana tahap kematangan adalah berbeza. Jadi mustahil dan tidak adil untuk kita membandingkan anak-anak daripada diri kita. Masih juga tidak adil jika kita hendak membandingkan anak kita yang berusia belasan tahun dengan diri kita semasa berusia belasan tahun dahulu. Kita dan anak-anak kita hidup di dalam dunia yang berbeza. Saya masih ingat semasa zaman saya bersekolah, hanya pelajar yang sangat kaya sahaja yang membawa telefon bimbit ke sekolah. Tetapi hari ini majoriti pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah sebagai satu keperluan. Ketika saya bersekolah rendah dahulu, rancangan televisyen cuma ada 4 hingga ke 5 siaran sahaja. Tetapi hari ini, rata-rata semua rumah sudah pasang 'Astro'.
Jadi jangan dibandingkan anak-anak hari ini dengan zaman kita yang dahulu.

Saya pernah mendengar perbualan seorang ibu bapa yang memarahi anaknya di hadapan saya dan mereka ada menyebut perkataan 'diskaun denda' kepada si anak yang memberi maksud mahu meringankan hukuman. Malangnya mereka tidak tahu bahawa anak mereka tidak mengetahui apa itu diskaun! Saya tahu anak mereka tidak tahu kerana saya guru tuisyen anaknya dan anaknya tidak boleh menjawab soalan berkaitan perkataan 'diskaun'! Mungkin bagi ibu bapanya, perkataan-perkataan yang digunakan adalah perbualan harian, namun adakah itu bahasa yang anak mereka gunakan? Apabila kita ingin bercakap dengan anak-anak, gunakan bahasa mereka supaya mereka dapat memahaminya. Jauhi penggunaan sindirian kerana ianya menyebabkan anak-anak keliru dan boleh mencetuskan salah faham yang lebih kritikal.

 -Khalilah HTBTP-

Terapi Anak 5 : Memahami Sikap Remaja Yang 'Moody'



Terapi Anak 5 : Memahami Sikap Remaja Yang 'Moody'
Memang sukar untuk cuba memahami perangai remaja yang berubah-ubah mengikut angin. Adakalanya mereka sangat gembira, tiba-tiba sahaja boleh menjadi pemarah, kemudian menjadi sangat pemalas dan pelbagai lagi. Hari ini mereka sukakan makanan lain, pakaian lain, rancangan TV lain, tetapi hari esok berlainan pula. Ibu bapa berusaha untuk mengambil hati anak-anak namun lansung tidak diendahkan.

Mengapakah perkara ini berlaku?. Perkara ini berlaku kerana remaja sedang mengalami fasa perubahan dalaman yang melibatkan hormon-hormon menuju alam dewasa. Dalam masa yang sama mereka juga mengalami fasa perubahan luaran yang melibatkan tekanan orang sekeliling termasuklah ibu bapa, rakan sebaya dan guru-guru yang bertambah. Mereka menerima tanggungjawab yang jauh lebih berat berbanding zaman kanak-kanak.

Pada zaman remaja, mereka sudah mulai ada ego dan tidak mahu dipandang rendah oleh sekeliling. Ini menyebabkan mereka sentiasa cuba bersaing sesama rakan untuk menjadi yang terbaik dalam apa sahaja perkara. Mereka tidak mahu dianggap ketinggalan zaman dan cuba untuk memiliki apa sahaja yang rakan-rakan mereka miliki seperti telefon bimbit, laptop, teman lelaki atau wanita, kenderaan sendiri dan kebebasan bersuara.

Pada usia remaja, mereka sudah mula merasakan diri mereka cukup dewasa sedangkan pemikiran mereka masih belum matang sepenuhnya. Mereka cuba untuk mendapatkan kekuasaan sepenuhnya dan kebebasan dalam menentukan hala tuju diri. Ini mendorong mereka untuk sering berdebat dengan ibu bapa. Ada sebilangan ibu bapa yang menganggap perbuatan ini sebagai kurang ajar dan memberi hukuman kepada anak-anak supaya jangan mempersoalkan tindakan atau perintah ibu bapa. Teknik pendidikan kuku besi ini sudah lapuk dan tidak sesuai lagi untuk digunakan pada zaman ini terutamanya terhadap remaja.

Persoalannya, bagaimanakah untuk berdepan dengan masalah begini?

Pertama sekali, sekiranya anak-anak suka untuk berdebat atau menyuarakan pendapat, bersyukurlah. Anak-anak yang bersedia meluahkan isi hati dan bercakap itu adalah jauh lebih baik daripada anak-anak yang lansung tidak mahu berbincang atau bercakap dengan ibu bapa mereka. Sangat ramai anak-anak remaja yang cuba melarikan diri daripada bertembung dengan ibu bapa sekalipun mereka tinggal serumah. Remaja yang begini kebiasaannya lebih selesa berkongsi cerita dengan rakan-rakan. Ini merupakan suatu cabaran besar kepada ibu bapa kerana ia merupakan tanda-tanda bahawa anda tidak dipercayai oleh anak-anak anda. Ibu bapa juga menjadi tidak kenal dengan peribadi anak-anak yang sebenar, lalu menimbulkan jarak di antara keluarga. Kesan besar faktor jarak ini akan menghasilkan anak-anak yang tidak peduli terhadap ibu bapa mereka apabila sudah dewasa. Jadi jangan marah atau halang anak-anak daripada menyuarakan pendapat mereka.

Kedua, sebagai ibu bapa yang juga manusia biasa perlulah menerima diri anak-anak yang pasti akan berubah. Kalau dahulu ibu bapa sangat gembira apabila anak-anak berlari menyambut di depan pintu, ketawa gembira apabila diberi permainan baru dan menyanyi bersama apabila gembira, kini perlulah menerima keadaan bahawa segalanya sudah berubah. Mereka masih anak-anak anda dan mereka masih menyayangi anda. Suatu masa dahulu semasa mereka masih kecil, mereka merasakan anda adalah segala-galanya untuk mereka. Tetapi setelah mereka masuk ke sekolah, mereka mulai mengenali insan-insan lain yang kemungkinan mendapat tempat yang lebih istimewa di hati mereka berbanding anda. Insan-insan ini mungkin adalah kawan-kawan mereka, teman lelaki atau perempuan atau guru-guru mereka. Sebagai ibu bapa, kita tidak dapat menghalang perubahan ini daripada berlaku. Jadi, apa yang kita boleh lakukan adalah memberi ruang kepada anak-anak untuk bersosial dalam masyarakatnya dan dalam masa yang sama banyakkan aktiviti kekeluargaan bersama. Contohnya makan bersama, pergi bercuti dan menonton televisyen bersama.

Ketiga, sejarah ibu bapa memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk diri anak-anak. Siapakah ibu bapanya yang menjadi acuan kepada peribadi anak-anak. Sebagaimana ibu dan bapanya pernah mengasari datuk dan neneknya dahulu, maka tidaklah mustahil anak-anak juga untuk mengasari ibu bapanya pula. Mendidik anak-anak bukanlah kerja sehari. Ianya juga bukanlah bererti sejarah akan berulang dua kali. Namun sebagai orang Islam, kita perlu sedar tanggungjawab kita terhadap ibu bapa kita. Jika kita inginkan anak-anak menjaga hati kita, maka kita perlulah menjaga hati ibu dan bapa kita.

Keempat, jiwa anak-anak remaja sangat berlainan daripada jiwa kanak-kanak. Remaja mahukan kasih sayang dan belaian yang lebih daripada kanak-kanak. Remaja sudah mulai belajar untuk menyukai manusia lain dan mencuba untuk memilikinya. Pada usia inilah kebanyakkan remaja terjerat dalam jerat percintaan yang tidak nampak masa depannya. Apabila ibu bapa menghalang, mereka memberi alasan yang pelbagai seperti kesunyian, kebosanan dan tidak boleh hidup tanpa kekasih. Naluri ingin mencintai dan dicintai ini adalah normal, maka salurkan naluri ini di tempat yang betul. Hanya agama Islam sahaja yang dapat memandu perasaan seperti ini di jalan yang benar. Zaman remaja cuma sekali, bertuahlah remaja yang menghabiskan zaman remajanya dengan sibuk mendalami ilmu agama dan mendalami ilmu dunia untuk memartabatkan agama. Agama yang diberikan kepada anak-anak tidak sepatutnya setakat mengajar membaca Al-Quran dan solat lima waktu. Agama sepatutnya dihayati dalam kehidupan seharian. Ibu bapa perlu mengaitkan setiap perkara dan persoalan kehidupan anak-anak dengan agama. Namun hari ini kita dapat melihat ibu bapa sendiri yang gagal mengenal agama, lalu bagaimana dapat mengenalkan anak-anak kepada agama. Agama yang sepatutnya menjadi ubat kepada permasalahan masyarakat cuma tinggal pada nama sahaja.

Akhir sekali, dalam berjuang mendidik anak-anak semestinya dijanjikan cabaran. Ingatlah bahawa segala penat dan lelah itulah yang Allah akan ganjari dengan pahala. Kita sebagai manusia cuma berusaha untuk melakukan yang terbaik. Sama ada kita berjaya atau gagal, itu adalah terpulang kepada Allah. Semoga Allah mengurniakan kita zuriat yang soleh dan menjadi penyejuk mata kita di dunia dan akhirat. Insya Allah!.

Terapi Anak 4 : Dekatkan Diri Kepada Allah.



Terapi Anak 4 : Dekatkan Diri Kepada Allah.
Mendidik manusia sememangnya mencabar kerana manusia itu bukannya robot. Sebagai seorang guru, kita perlu sentiasa ada tautan hati dengan Allah kerana hanya Allah yang memegang hati manusia. Sekiranya Allah berkehendak supaya anak-anak itu mudah dibimbing dan mudah memahami apa yang disampaikan, guru akan menjadi mudah mengajar anak-anak itu...Begitulah juga sebaliknya. Jadi, pada pandangan saya, guru perlu bersihkan hati dan banyakkan berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan urusan dalam menyampaikan ilmu kepada anak-anak muridnya. Bersihkan hati, senyum selalu dan jaga akhlak.. Inshaallah akan terasa ringan berhadapan dengan kerenah anak-anak itu.
-Khalilah HTBTP-

Terapi Anak 3: Mulakan Kelas dengan Doa dan Kata-Kata Motivasi.



Terapi Anak 3: Mulakan Kelas dengan Doa dan Kata-Kata Motivasi.
Ceritakan kisah pendek atau berkongsi pengalaman anda tentang bagaimana hendak mengatasi malas, jemu dan mengantuk. Berkongsilah kisah bagaimana anda pernah gagal dan berjaya dalam hidup. Berkongsilah kata-kata hikmah dan huraikan kepada anak-anak. Berkongsilah tips-tips bagaimana hendak mengatasi masalah krisis dengan ibu bapa dan kawan-kawan. Anak-anak sangat sukakan perkongsian seperti ini. Adakalanya mereka sangat berminat terhadap pengisian 15 minit ini melebihi kelas yang 1jam itu. Saya sendiri dapat merasakan perbezaan menghadapi kelas yang dimulakan dengan sesi motivasi dan kelas yang terus dimulakan dengan pelajaran. Untuk memudahkan kita mengajar, kita perlulah memotivasikan anak-anak ini dahulu. Enjin kena kasi panas beb! :)
-Khalilah HTBTP-

Terapi Anak 2 : Jangan Buat Mereka Benci



Terapi Anak 2 : Jangan Buat Mereka Benci.
Jangan buat sehingga anda dibenci. Jika anda berasa marah, beristigfarlah dan tersenyumlah. Berpesanlah kepada diri "Anak-anak ini inshaallah akan menjadi manusia yang hebat suatu hari nanti. Jadi aku perlu bersabar. Ya Allah, bantulah aku untuk bersabar." Inshaallah kita akan dapat bersabar. Jangan memarahi mereka ketika anda sedang marah sebaliknya marahlah mereka apabila ternyata mereka berbuat salah. Adakalanya kita perlu berlakon marah sekadarnya untuk memberi pengajaran kepada murid. Apa yang penting ialah mereka perlu tahu bahawa kita marah hanyalah kerana kita menyayangi mereka supaya mereka tidak membenci kita.
-Khalilah HTBTP-

Terapi Anak 1 : Luangkan Masa untuk Berbual Mesra.



Terapi Anak 1 : Luangkan Masa untuk Berbual Mesra. 
Anak tetap anak. Fitrah anak mahu bermanja-manja. Barangkali anak-anak terlalu nakal menyebabkan hati ibu bapa serta ahli keluarga lain menjadi panas sentiasa apabila memandang anak tersebut. Awas, itu permainan syaitan. Syaitan segaja mengapi-apikan kita supaya marah berubah benci. Apabila hati sudah benci, hilanglah saki baki kasih sayang. Mulalah apa sahaja yang dibuat oleh si anak menjadi buruk di pandangan mata kita. Beristigfarlah dan duduk di sisi anak untuk berbual mesra tentang hal-hal seharian yang lucu atau menghiburkan. Lakukanlah begini banyak kali. Jangan hanya ikut angin atau mood, nanti anak terasa kita cuba bermuka-muka dengannya. Melalui berbual ini, banyak masalah dapat diselesaikan. Mengapa? Kerana selalunya punca masalah dapat dikorek. Jika bernasib baik, nasihat-nasihat kita lebih mudah diterima ketika ini. Maka rajin-rajinlah bermesra dengan mereka. 
-Khalilah HTBTP-

Perkongsian hati

Apabila anak-anak sudah punya kekasih hati, mereka akan meninggalkan ibu dan ayah. Apabila anak-anak sudah punya kerjaya mantap, mereka akan meninggalkan ibu dan ayah. Hanya 1 sahaja yang dapat mengikat mereka dengan ibu dan ayah iaitu AGAMA kerana AGAMA menuntut anak memberi nafkah kepada ibu bapa, menziarahi ibu bapa, melayani ibu bapa dan mendoakan ibu bapa. Rugilah ibu bapa yang tidak memberikan AGAMA kepada anak mereka. Moga Allah mengurniakan kita zuriat yang beriman dan beramal.